|
Halim bersama sijil dan pingat-pingat yang dimenangi. |
"ABDUL Halim perbaharui dua rekod asia di Terbuka Malaysia". Itulah tajuk ruangan sukan sebuah akhbar harian, merujuk kepada salah seorang atlet negara yang menyertai Kejohanan Olahraga Paralimpik Terbuka Malaysia 2012. Atlet tersebut, Abdul Halim bin Badruddin yang juga merupakan pelajar di PPKIBP SMK Arau telah mengharumkan nama sekolah seterusnya negara pada kejohanan tersebut apabila memenangi 2 pingat emas dan 1 perak. Pingat-pingat yang dimenangi masing-masing menerusi acara 800m, 1500m (pingat emas) dan 400m (pingat perak) bagi kategori T38. Apa yang paling membanggakan ialah beliau telah berjaya memecahkan dua rekod Asia iaitu bagi acara 800m dan 1500m.
|
Pencapaian 2 pingat emas (sekaligus memecahkan rekod Asia) dan 1 perak cukup membanggakan. |
Atlet berusia 17 tahun itu mencatatkan masa 5:24.54s iaitu mengatasi rekod berusia sembilan tahun milik atlet paralimpik Iran, Vahid Iranmanesh dengan catatan 5:53.55s di Mashrad, Iran, pada 2003. Sebelum ini atlet kelahiran Kedah itu mempebaharui rekod Asia bagi acara 800m lelaki dengan catatan 2:34.21s, memperbaharui rekod yang sebelum ini dipegang oleh Dastkouhi Mohsen dari Iran dengan catatan 2:42.90s di Mashrad, Iran pada 2003.
|
Rakan-rakan sekelas yang turut berkongsi kegembiraan dan berbangga dengan pencapaian yang beliau perolehi. |
Walaupun berjaya memperbaharui dua rekod Asia, Abdul Halim tidak dapat disenarai dalam skuad negara ke temasya Paralimpik London 2012 kerana namanya belum didaftarkan dengan Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC). Perkara ini tidaklah begitu mengecewakan kerana apa yang lebih penting ialah pencapaian yang telah beliau tunjukkan sekaligus mencapai sasaran pada kejohanan kali ini.
|
Abdul Halim sewaktu menyertai Kejohanan Balapan dan Padang Pendidikan Khas Negeri Perlis 2012 di mana beliau telah berjaya menyumbang pingat emas dalam acara 1500m. Gambar diambil beberapa hari sebelum beliau menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia di Kuala Lumpur.
|
Seluruh warga PPKIBP SMK Arau merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Abdul Halim yang telah berjaya meletakkan potensi dirinya pada tahap yang terbaik melalui pencapaian yang cukup membanggakan ini. Diharapkan kemenangan beliau ini akan menjadi pendorong dan pencetus motivasi kepada rakan-rakan yang lain untuk mempamerkan bakat dan kemampuan masing-masing khususnya dalam bidang sukan. TAHNIAH BUAT ABDUL HALIM.
|
Sijil Penghargaan Kejohanan. |
|
Inilah dia tiga pingat yang dimenangi, 2 pingat emas dan 1 perak. Tahniah!! |
No comments:
Post a Comment